Pengusaha, Pemborong dan Pembekal Ikan Keli & Makanan

Kami merupakan pengusaha, pemborong dan pembekal ikan keli, tilapia dan puyu. Antara aktiviti perniagaan kami:
  • Mengeluarkan benih ikan keli, tilapia dan puyu;
  • Jual-beli anak-anak ikan seperti di atas;
  • Memelihara ikan keli, tilapia dan puyu;
  • Jual-beli ikan-ikan dewasa;
  • Memberi khidmat nasihat dalam menyediakan prasarana penternakan ikan air tawar;
  • Menganjurkan kursus berkaitan pembenihan, pemeliharaan ikan dan penyediaan prasarana

Monday, September 26, 2011

Berkat air mata air



Rupanya ada rahsia untuk memastikan anak ikan keli boleh hidup dan membesar. Ujar penternak di Terengganu, gunakan air mata air.



BARU berjinak dalam bidang ternakan keli, Mohd, Irewan Abd. Jalil pernah hampir putus asa kerana semua anak ikan keli di kolamnya mati tanpa sebab.

Pelbagai cara telah dicuba, tetapi hampir semua anak-anak ikan itu akan mati selepas menetas.

"Kira-kira dua bulan jugalah saya dan seorang rakan kongsi cuba melakukan try and error ke atas air yang digunakan bagi membolehkan anak ikan keli terus hidup. Lima kali mencuba semua anak ikan mati.

"Banyak kerugian yang terpaksa ditanggung, sehingga suatu hari, rakan perniagaan di daerah lain memberitahu air yang terbaik untuk membenihkan telur ikan keli adalah air mata air.

Itulah cerita anak muda, Mohd. Irewan, 26, yang bekerjasama dengan rakan sekampungnya, Mohd. Fauzi Abd. Rahman.

PROSES mengeluarkan telur ikan.


Dua jejaka bujang berasal dari Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu itu mula berjinak dengan projek berkenaan pada bulan Ramadan tahun lepas.

Kata Mohd. Irewan, beliau terpaksa menggali tanah di tapak pembenihan di Kampung Padang Midin di Kuala Terengganu milik mereka bagi mendapatkan air mata air.

"Selepas kami menggunakan air berkenaan, anak ikan yang terhasil kira-kira 20,000 hingga 50,000 masih mati. Apabila dikaji, ia berpunca daripada mata air di tapak berkenaan yang berwarna kemerahan dan mengandungi bahan yang tidak sesuai untuk tumbesaran anak ikan kerana kawasan itu berpaya," katanya.

Beliau yang mempunyai Diploma Sains Komputer di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor menambah, apabila meninjau di kawasan sekitar kampung berkenaan, terdapat sebuah telaga yang diyakini mampu memanjangkan jangka hayat benih ikan keli.


Apabila dirisik, akhirnya beliau meminta izin tuan punya telaga berkenaan untuk mengepam air terbabit ke tapak projek.

"Tuan punya telaga berkenaan bersetuju dan kami menggunakan pam menyedut air telaga yang terletak kira-kira 400 meter daripada tapak projek dengan menggunakan paip getah untuk mengisi 12 kolam.

"Akhirnya benih ikan mampu bertahan sehingga ia mampu dijual dengan saiz maksimum sepanjang lima sentimeter seekor," katanya yang pada mulanya risau mengenai cara terbaik menghasilkan anak ikan bermutu tinggi.

Beliau yang menggunakan kolam berukuran tiga meter lebar dan 21 meter panjang itu terpaksa mengambil masa sehingga hampir setahun mempelajari selok belok pembenihan dan pengurusan anak ikan secara sistematik.

Katanya, menguruskan anak ikan yang berusia sehingga 45 hari amat sukar lebih-lebih lagi ia amat sensitif dengan persekitaran dan makanan.

"Untuk permulaan selepas proses penetasan sehingga usianya mencecah sembilan hari, ia perlu diberi makan artemia atau anak udang.

"Selepas itu apabila usianya mencecah sehingga 45 hari atau panjangnya sehingga lima inci ia boleh diberi makan moina atau sejenis hidupan air yang kecil, lebih kecil daripada jentik-jentik," ujarnya.

Lebih menarik, katanya, anak ikan keli yang dijual mereka tidak pernah dinaikkan harga dan ia dikekalkan sejak projek berkenaan dimulakan.

ANAK ikan keli di bawah usia 45 hari memerlukan penjagaan rapi.



Katanya, setiap ekor anak ikan berukuran dua inci dijual pada harga RM0.10, tiga inci (RM0.20) dan RM0.25 jika panjang anak ikan keli mencecah lima inci.

Mohd. Irewan memberitahu, air yang digunakan perlu ditukar setiap hari bagi menghalang anak ikan lemas kekurangan oksigen.

"Pada permulaan kami hanya mampu menghasilkan kira-kira 20,000 ekor anak ikan tetapi kini setiap bulan, anak ikan yang dihasilkan mampu mencecah sehingga 200,000 ekor.

"Soal pemasaran, tiada masalah kerana penternak ikan keli di Terengganu terutama di daerah Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman akan datang ke tapak pembenihan ikannya," katanya.

Beliau yang turut mengusahakan tanaman cendawan berkata, mereka berdua pada mulanya mahu membantu penternak ikan keli di negeri Terengganu mendapatkan benih ikan dengan tidak perlu ke negeri lain untuk mendapatkannya.

Katanya, bermula dari situlah beliau dan Mohd. Fauzi rakan kongsinya berazam memulakan projek berkenaan kerana peluang terbuka luas untuk mereka menolong penternak ikan keli.

"Lagipun, permintaan ikan keli di restoran atau kedai-kedai makan tidak akan putus, jadi peluang mengusahakannya seharusnya tidak boleh ditolak begitu sahaja," katanya.